Pelampau Buddha kepung penduduk Muslim Rohingya

Pelampau Buddha kepung penduduk Muslim Rohingya

YANGON, 1 Zulhijjah 1438H, Rabu – Ratusan warga Myanmar daripada etnik Muslim Rohingya dikepung di dalam kampung mereka oleh kumpulan pelampau Buddha di barat negara itu, kata penduduk, tatkala ketegangan isu agama merebak semula di Rakhine.

Pemantau hak asasi manusia dan pekerja bantuan bimbang keganasan yang sehingga kini terbatas kepada etnik Rohingya di sebuah kampung di utara Rakhine, bersempadan dengan Bangladesh, bakal merebak ke kawasan lebih besar di mana kedua-dua komuniti, Rohingya dan Buddha berjiran.

Penduduk memberitahu umat Islam Rohingya yang tinggal di Kampung Zay Di Pyin telah dikepung dan dihalang daripada keluar untuk bekerja atau membeli makanan dan mendapatkan bekalan air bersih sejak tiga minggu lalu, walaupun sebahagian kecilnya dibenarkan keluar secara bersyarat sejak semalam.

Polis berkata, penduduk Buddha menyekat jumlah makanan yang boleh dibeli oleh etnik Rohingya, tetapi menafikan pergerakan mereka dihalang.

Pengepungan dan halangan itu meningkatkan kebimbangan keganasan seperti yang berlaku di ibu negeri Rakhine – Sittwe – pada 2012, menyebabkan lebih 200 orang terkorban dan 140,000 hilang tempat tinggal, kebanyakannya etnik Rohingya, akan berulang.

“Apa yang membimbangkan di Zay Di Pyin ialah keadaan itu boleh menyebabkan kekacauan dan keganasan di antara dua komuniti berkenaan,” kata anggota kumpulan pemantau Projek Arakan, Chris Lewa.

Penduduk memberitahu, ketegangan tercetus semula di kampung itu hujung Julai lalu, apabila seorang lelaki Buddha dari kampung bersebelahan hilang dan pada masa sama tiga etnik Rohingya ditemui dibunuh di kawasan itu.

“Mereka mendakwa kami membunuh lelaki yang hilang itu dan melakukan sekatan serta tidak balas. Kami dihalang daripada keluar bekerja dan tidak dibenarkan bersolat di masjid yang terletak di luar kampung,” kata seorang penduduk.

Kumpulan pelampau Buddha, sesetengahnya bersenjatakan pedang dan kayu, mengadakan sekatan dan pemeriksaan di enam kawasan sekitar penempatan etnik Rohingya, tetapi setakat ini belum ada kekacauan atau keganasan besar berlaku.

Rakhine sudah lama terpecah antara etnik Buddha dan Muslim Rohingya. Kira-kira 1.1 juta etnik Rohingya tinggal di negeri itu, tetapi mereka dinafikan hak kewarganegaraan dan berdepan sekatan perjalanan yang teruk, kerana mereka dianggap pendatang asing dari Bangladesh.

Lebih 87,000 orang melarikan diri ke Bangladesh, sejak kumpulan pejuang Rohingya membunuh sembilan anggota polis Myanmar di barat laut Rakhine, Oktober tahun lalu. Kejadian itu mendorong tindakan keras tentera Myanmar – yang dituduh melakukan pembunuhan beramai-ramai, pembakaran dan merogol wanita Rohingya.

Sumber: Ismaweb

Loading...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *