5 PENINGGALAN BRITISH KAT MALAYSIA YANG ORANG TERLEPAS PANDANG

5 PENINGGALAN BRITISH KAT MALAYSIA YANG ORANG TERLEPAS PANDANG

Bila sebut pasal penjaja je, yang paling femes sekali mesti British. Walaupun kita jugak pernah dijajah oleh Portugis, Belanda dan Jepun, tapi British ialah pihak paling lama menjajah. Diorang masuk tahun 1786 dan mula mentadbir sejak 1873 sampailah kita merdeka tahun 1957. Kalau dah sampai beratus tahun duduk kat sini, mesti ada banyak benda yang ditinggalkan, kan?

Beratus tahun dijajah sampai bendera 1950 pun tampal macam ni je. Imej dari flagspot.net

Nama pun penjajah mestilah ada kesan buruk. Antaranya ialah kewujudan rasisme dan ketaksamaan ekonomi antara kaum yang sampai sekarang kita kena atasi. Tapi macam mana pulak dengan sumbangan positif diorang? Yang paling obvious sekali tentulah rakyat pelbagai kaum, tinggalan bangunan-bangunan lama, sekolah jenis vernakular yang masih diteruskan sampai ke hari ni, tak lupa jugak macam-macam makanan fusion!

Takkan itu je? Tak…kami senaraikan 5 kesan positif yang mungkin korang terlepas pandang.

1. Berkembangnya bandar Taiping dan Kuala Lumpur hasil dasar ekonomi British

Bila British mula giat merampas kekayaan Tanah Melayu untuk kekayaan ekonomi diorang, kedatangan pekerja secara besar-besaran untuk bekerja di ladang dan lombong berlaku. Dilaporkan pada 1921, di Tanah Melayu ada sejuta orang Cina dan pada 1931 ada setengah juta orang India.

Bila ramai-ramai macam tu, British guna dasar pecah dan perintah supaya semua kaum tak kenal satu sama lain. Bila tak kenal, maka tak cinta. Bila tak cinta, British harap tak ada la penentangan wujud.

Senang sikit nak kawal kalau semua berpecah. Imej dari Irish Blog.
Jadi bila British buat macam tu, banyak penempatan yang wujud. Ada yang kata disebabkan dasar ni, orang Melayu terpinggir dari bandar dan bandar-bandar mula dikuasai oleh kaum tertentu sahaja. Dasar yang British buat ni sampaikan sistem pengangkutan dan jalan pun dibina ikut kepentingan kaum masing-masing, contohnya di Georgetown.

Dalam banyak-banyak bandar yang wujud sebab perkembangan ekonomi ini, ada dua tempat yang SOSCILI rasa ada kepentingan dalam sejarah negara. Pertama ialah Taiping dan yang kedua ialah Kuala Lumpur.

Taiping ni terletak di daerah Larut, Perak. Di Larut dulu, ada tiga pihak berkepentingan iaitu orang Melayu, orang Cina dan British yang sentiasa bergaduh berebut kawasan, sampai 4 Perang Larut berlaku. Yang paling teruk ialah Perang Larut ke-4. Perang ni antara kongsi gelap orang Cina yang buat pakatan dengan pembesar Melayu masing-masing untuk menguasai kawasan kaya bijih timah.

Lombong bijih timah yang jadi rebutan sampai jadi Perang Larut 4 kali. Imej dari MalaysiaCentral.com

Teruknya Perang Larut ke-4 ni sampai kepentingan British terjejas, so diorang masuk campur dan wujudlah Perjanjian Pangkor 1874, dan bermulah penjajahan rasmi British di Malaya. Kesan daripada Perjanjian Pangkor 1874 ni, British mula kuasai pentadbiran Perak dan dari situlah sistem yang sama mula diperkenalkan secara perlahan-lahan kat negeri Tanah Melayu yang lain.

Perjanjian Pangkor 1874 telah berjaya hentikan Perang Larut dan Taiping pun berjaya berkembang sebagai bandar terawal kerana boleh melombong bijih timah dengan aman. Korang tau tak Taiping waktu tu hebat macam mana? Taiping ialah bandar pertama yang ada landasan stesen keretapi (1885), stesen polis (1879), pejabat pos (1884) dan muzium (1883).

Stesyen pertama Malaya, Taiping 1885. Imej dari malayarailway.com

Kuala Lumpur juga berkembang disebabkan oleh bijih timah. Pada mulanya ia diterokai oleh Raja Abdullah yang mewakili Yam Tuan, dibantu oleh Raja Jumaat dari Lukut dan 87 pelombong timah Cina sampailah diorang jumpa kawasan banyak bijih timah di Ampang. Kemudian bila Yap Ah Loy turun KL pada tahun 1860-an, time tu KL dah berkembang pesat dan dia jugak turut bantu membangunkan lagi KL selepas Perang Saudara Selangor sehingga diberi sebagai pengasas Kuala Lumpur.

Bila tengok KL ni dah berkembang pesat, so Residen British Selangor waktu tu (J.G Davidson) pun amik kesempatan memindahkan ibu negeri Selangor ke Kuala Lumpur pada 1873 dan bermulalah zaman emas KL sampai sekarang.

Tapi bila orang mula ramai, mestilah kena ada sistem yang teratur kan? Kalau tak mesti ada bencana yang akan berlaku dan itulah yang berlaku di KL tahun 1881.

2. Sebab British lah sekarang ni kita boleh pilih pemimpin dan gomen sendiri!

Yang paling utama ialah sistem demokrasi yang kita pakai sekarang, yang kadang-kadang kita tak amik kisah sangat. Sebelum tu kita kan pakai sistem beraja. Waktu sistem beraja dulu, raja dan sultan dilantik berdasarkan keturunan, kalau berubah pun sebab perang saudara macam apa yang jadi kat Pahang dan Selangor. Kemudian bila British secara rasmi menjajah melalui Perjanjian Pangkor 1874, kuasa sultan ini hanya terhad kepada isu agama Islam dan hal ehwal istiadat orang Melayu.

British lantik residen untuk uruskan pentadbiran yang lain. Tapi residen ni pun dipilih British daripada orang diorang jugak. Maksudnya, sistem raja dan residen yang wujud ketika tu tak bagi hak kepada rakyat biasa untuk pilih pemimpin diorang.

Menjelang kemerdekaan, melalui Perjanjian Tanah Melayu 1948, British letak syarat yang kita perlu mengadakan pilihanraya. Mula-mula pilihanraya diadakan di peringkat majlis perbandaran je iaitu pada tahun 1951 di Pulau Pinang dan Kuala Lumpur pada tahun 1952, dan di situ jugaklah bermulanya kerjasama parti pelbagai kaum. Pilihanraya Umum Malaya yang pertama kemudiannya diadakan pada tahun 1955, di mana majoriti kerusi dimenangi Parti Perikatan.

One ring to rule all… eh silap! Parti Perikatan yang menang pada tahun 1955. Imej dari arkib.gov.my

Jadi bila kita dah boleh penuhi syarat British ni, British pun nak tak nak terpaksa la setuju biar kita memerintah negara sendiri (walaupun diorang tetap puji diri sendiri dan pentadbiran kolonial diorang).

Tapi kenapa Malaya pilih jadi Persekutuan, bukan republik macam Indonesia atau Singapura? Sebabnya, apa sahaja tindakan yang dilihat cuba menghapuskan kuasa orang Melayu (sultan, adat, dan agama Islam) akan ditentang hebat, seperti yang berlaku pada Malayan Union. Malah, Tunku Abdul Rahman sendiri kata yang dia tak nak kemerdekaan dengan darah.

Jadi konsep Persekutuan dipilih untuk wujud bersama-sama dengan institusi diraja. Walaupun konsep Persekutuan ni melindungi kedaulatan institusi diraja, pada masa yang sama kuasa raja juga dikawal oleh Perlembagaan Persekutuan. Sistem ini tak asing pun untuk British, sebab diorang pun ada Perdana Menteri yang dipilih rakyat disamping keluarga raja keturunan.

Tapi British ada satu je institusi diraja, sedangkan kita ada 9 raja di 9 negeri. So macam mana pulak nak pilih seorang raja di peringkat Persekutuan? Sebab tu Majlis Raja-raja ditubuhkan pada 1948 dan Yang Dipertuan Agong pertama dilantik pada 1957, gilir-gilir lima tahun sekali.

Tapi, betul ke British ni ikhlas nak bagi demokrasi kat Malaysia? Jawapannya tak, tapi semuanya disebabkan oleh Empayar British makin lemah, diorang pun tak boleh nak kawal kebangkitan kemerdekaan di Malaya waktu tu dan British pun tak nak keganasan perjuangan kemerdekaan kat India berulang di Malaya sebab konpem ia akan jejaskan periuk nasi diorang nanti. So dorang pun setuju…

3. British bagi kita bangunan batu, Petaling Jaya dan Dataran Merdeka

Ada dua tragedi yang memusnahkan Kuala Lumpur tahun 1881. First ialah pada 4 Januari, dimana telah berlakunya satu kebakaran besar di seluruh Kuala Lumpur dan second pada 21 Disember, berlaku pulak banjir besar sampai Kuala Lumpur lumpuh. Tragedi ni tak dapat dikawal sebab hampir semua rumah guna kayu, buluh dan atap serta dibina rapat-rapat.

Rumah atap nipah di KL 1884…Imej dari malaysiandesignarchive.org

Untuk mengelakkan benda ni berulang, Kuala Lumpur memerlukan sistem perancangan bandar moden sendiri. So pada tahun 1884, Undang-undang Bangunan telah diperkenalkan oleh British untuk memastikan semua bangunan kat Kuala Lumpur dibina guna batu bata, genting tanah liat dan setiap bangunan mesti kena ada kaki lima berbumbung. Malah setiap bangunan juga perlu dibina ikut susur jalan yang disediakan, tak boleh bina sesuka hati lagi.

Untuk pengetahuan korang, sejarah perancangan bandar kat Malaysia ni banyak kaitan dengan penjajahan British, sampailah lepas merdeka, kita gubal undang-undang sendiri untuk rmerancang pembangunan bandar dan desa negara.

Bila makin ramai orang datang Kuala Lumpur sebab nak cari kerja, maka timbul lah pulak masalah baru, iaitu kawasan setinggan. Jadi British pun buat bandar satelit pertama di Petaling tahun 1952 untuk atasi masalah ini.

Selangor telah memperuntukkan 1200 ekar ladang Effingham untuk bina rumah dan sekarang kawasan ni dekat Seksyen 1 sampai Seksyen 8 Petaling Jaya Lama, dan dua lagi jalan utama yang dulu dikenali sebagai Jalan 1 dan Jalan 2 sekarang dikenali sebagai Jalan Templer dan Jalan Othman.

Contoh rumah terawal di Petaling Jaya dulu.. Imej dari thestar.com.my

Bila sebut perancangan moden bandar di Malaysia, ada sorang mat saleh yang perlu diberikan pujian. Nama dia Charles Reade yang merupakan perancang bandar kerajaan pertama di Negeri-negeri Melayu Bersekutu dan dia jugaklah telah mendesak British untuk luluskan Enakmen Perancangan Bandar 1923. Melalui Enakmen ni, Charles telah merancang bandar moden pertama kat Malaysia iaitu Kuala Kubu Bharu (KKB) ikut model bandar dalam taman seperti Lethword dan Welwyn di Britain dan Colonel Light Gardens di Adelaide, Australia.

Jadi kalau korang terasa nak berjalan-jalan dalam taman bandar gaya overseas tapi tak berapa nak mampu sebab ringgit makin murah,korang boleh je pergi ke KKB ni sebab sampai sekarang masih ada lagi tinggalan perancangan bandar bersejarah yang si Charles Reade ni buat.

Selain KKB, Charles ni juga orang yang bertanggungjawab reserve tanah seluas 55 ekar di tengah-tengah Kuala Lumpur, yang dinamakan “Taman Rakyat”. Kawasan tu sekarang ialah kawasan sekitar Stadium Merdeka dan Dataran Merdeka. Sebab tu sampai sekarang kita ada padang luas di tengah-tengah KL.

Dia nilah yang rancang KKB, Dataran Merdeka dan banyak lagi… Imej dari thestar.com.my

4. British bagi kita mahkamah moden pertama dan Akta Hasutan perangi komunis

Richard Winstedt dalam buku dia The Malays: A Cultural History kata Tanah Melayu waktu dulu ada empat sumber undang-undang iaitu Adat Pepatih, Adat Temenggong, Kanun Laut Melaka dan Undang-undang Islam Mazhab Shafie. Si Richard ni salah sorang pentadbir British di Malaya waktu tu.

Bila gabungan ni wujud, British susah nak memerintah. Jadi diorang bawak masuk sistem diorang sendiri, dikenali sebagai English Common Law yang ada Perlembangaan bertulis guna model Westminster. Tapi, urusan agama dan adat istiadat orang Melayu waktu tu tak disentuh sangat oleh British, tindakan British ini dikatakan pemula kepada kewujudan dua sistem undang-undang Civil dan Islam yang wujud sampai sekarang.

Mahkamah moden pertama yang wujud di Malaya ialah di Fort Cornwallis, Pulau Pinang selepas Royal Charter of Justice diperkenalkan. Sejak dari situ lah, bermulanya sistem kehakiman moden Malaysia.

Sinilah mahkamah moden pertama Malaysia wujud..Imej dari travelpenangmalaysia.com

Sebab mahkamah kita ada pengaruh British, secara langsung kita pun guna sistem juri jugak dulu. Maksudnya sesiapa sahaja rakyat yang layak akan dipanggil untuk jadi juri kes mahkamah.Tapi, Malaysia hapuskan sistem ni pada 1 Januari 1995 atas alasan sangat mahal, leceh dan rakyat biasa yang tak tahu menahu pasal sistem kehakiman kadang-kadang tak faham nak nilai bukti jenayah. Kalau korang ingat lagi kes Mona Fendey, itu ialah kes terakhir guna sistem juri di Malaysia pada 1994.

Bila ada mahkmah dan perbicaraan mesti ada hukuman ke atas pesalah. Antara jenis hukuman ialah sebat untuk jenayah berat macam rogol, dan dadah selain hukuman penjara. Malah sebatan yang kita guna dalam hukuman kita sekarang asalnya daripada sistem British seawal 1905 lagi, walaupun banyak badan antarabangsa macam Amnesty International yang rasa hukuman sebat ni mencabul hak asasi manusia.

Sebat di penjara sekarang yang buat ialah pegawai jabatan penjara, gerun tak? Imej dari trekearth.com

Satu lagi tinggalan penting British dalam sistem undang-undang kita yang masih kekal sampai sekarang ialah Akta Hasutan 1948. Akta ni asalnya daripada 1351 English Statues of Treason dan British wujudkan akta ni untuk perangi komunis waktu tu, sampailah Malaysia satu-satunya negara dalam dunia yang tewaskan komunis dalam perang gerila. Sampai sekarang akta ni masih sah digunakan di Malaysia.

5. FAM wujud tahun 1933 lagi dan kita dah menang Piala Thomas 1949

Tak bolasepak, badminton, tak badminton, bolasepak. Dua sukan paling popular kat Malaysia ni pun ada kaitan dengan British. Sampailah sekarang, dua sukan ni betul-betul menyatukan kita. Setiap kali pasukan negara main waktu tulah kita semua betul-betul jadi 1Malaysia.

Bolasepak dibawak masuk ke Malaya oleh British pada awal kurun ke-19. Pada 1921, Piala Malaya diperkenalkan dan semua negeri Malaya ambil bahagian. Piala Malaya ni sekarang dikenali sebagai Piala Malaysia. FAM pun dah wujud sejak tahun 1933 lagi dengan presiden pertama ialah Sir Andrew Caldecott

Dah lama ghupanya FAM ni, tapi… Imej dari goal.com

Dan baru-baru ni jugak Faiz Subri menang anugerah Puskas melalui proses undian. Itu pun bukti yang sukan ni memang sangat popular di Malaysia.

Begitu jugak dengan badminton yang dibawak masuk oleh British, melalui Syarikat Hindia Timur Inggeris pada tahun 1809. Kemudian British mula kenalkan sukan ni kat sekolah-sekolah di bandar besar macam Pulau Pinang, Melaka dan Kuala Lumpur awal kurun ke 20. Dan kalau korang nak tahu, Malayan Badminton Association yang sekarang ni dah jadi Badminton Association of Malaysia ditubuhkan pada 1934, antara persatuan badminton terawal di dunia.

Hebatnya orang Malaysia ni main badminton, kita dah memang Piala Thomas seawal tahun 1949 lagi. Malaya waktu tu diwakili oleh lagenda badminton zaman tu iaitu Wong Peng Soon. Kita menang Piala Thomas sebelum merdeka tiga tahun berturut-turut dari 1949, 1952 hingga 1955.

Lama sebelum adik beradik Sidek, Datuk Lee Chong Wei, kita ada Wong Peng Soon… Imej dari badmintoncn.com

Bukan semua kesan yang British tinggalkan buruk, ada jugak kesan baik yang kita boleh terus guna

Mana-mana negara yang pernah dijajah mesti tak dapat lari daripada tinggalan penjajah masing-masing. Perit memang perit tapi benda dah jadi. Yang boleh kita ubah ialah buang kesan buruk diorang dan teruskan kesan baik yang diorang tinggalkan.Seperti yang kami dah beritahu kat atas, kesan-kesan baik yang diorang tinggalkan ni kenalah kita kekalkan.

Macam boleh pilih gomen sendiri tu kan kesan baik, jadi kenalah kita teruskan dengan jalankan tanggungjawab sebagai pengundi, jadi korang dah daftar ke belum? Tapi macam Akta Hasutan, ada pendapat yang mengatakan sudah sampai masanya ia dimansuhkan sebab ancaman komunis dah takda dan ia digunakan untuk faedah pihak tertentu je. Malah British pun dah mansuhkan akta ni, Malaysia bila lagi?

Dalam situasi semasa yang semua orang asyik nak bergaduh sesama sendiri ni, kita boleh apply semangat ambik yang baik, buang yang buruk ni. Kalau ada tinggalan British ni pun kita boleh kekalkan sampai sekarang, maknanya orang Malaysia ni memang ada semangat toleransi dan belajar antara satu sama lain. Bila buat macam tu, barulah kita boleh jadi orang Malaysia yang kuat, seperti yang Bapa Kemerdekaan kita cakap:

Kalau semua bangsa jadi bangsa Malaysia, kita akan menjadi sebuah negara yang bersatu dan kuat – malah kuasa besar. Sebab tu kita kena berlagak seperti seorang Malaysia, bukan cakap kat mulut je.” – Tunku Abdul Rahman

sumber: soscili.my

Loading...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *