Nabil Janji Kurangkan Gurau Kasar

Nabil Janji Kurangkan Gurau Kasar

KUALA LUMPUR: Pelawak dan pengacara, Nabil Ahmad, berharap tiada lagi mana-mana pihak yang terasa hati dengan gurauannya ketika mengendalikan program Gegar Vaganza (GV) musim terbaru, tahun ini.

Nabil berkata, selepas mendapat teguran daripada pihak Astro, beliau sudah pun mengurangkan gurauan kasarnya agar tidak menjadi isu.

“Ya, mereka ada menegur saya. Maafkan saya jika ada yang terasa hati lagi. Tetapi, saya sudah sedaya upaya mengurangkan kata-kata atau gurauan kasar yang mungkin menyakitkan hati mana-mana pihak,” katanya ringkas kepada BH Online.

Terdahulu, pada minggu pertama GV musim keempat, cef selebriti, Datuk Redzuawan Ismail atau lebih dikenali sebagai Chef Wan menyifatkan pengacaraan Nabil agak keterlaluan hingga membataskan percakapan juri untuk memberi komen.

Walaupun tahu Nabil mahupun gandingannya, Jihan Muse tidak berniat apa-apa dalam kata-kata gurauan mereka, namun beliau kurang bersetuju dengan cara terbabit yang dilihat seperti kurang menghormati orang lain.

Netizen turut menggunakan laman sosial untuk menegur lawak dan cara pengacaraan lelaki berkenaan yang dilihat agak kasar serta tidak sesuai untuk program yang ditonton oleh semua peringkat umur.

Sementara itu, Pengurus Saluran Astro Ria, Emarina Mohd Kamal, berkata beliau sedar nama Nabil sentiasa menjadi bualan setiap kali GV diadakan.

Namun, beliau menyifatkan gurauan kasar berkenaan tidak pernah mengundang ketidakselesaan mana-mana pihak yang terbabit dalam program itu.

“Sebenarnya, baik juri mahupun peserta GV, mereka tak pernah berkecil hati dengan Nabil. Mereka sudah menjadi seperti sebuah keluarga.

“Begitupun saya faham, penonton tidak tahu dan mereka akan berasa kurang selesa dengan gurauan Nabil itu,” katanya.

Dalam pada itu, Emarina berkata, walaupun sudah memberikan teguran dan ingatan, pastinya ada kata-kata yang terlepas, lebih-lebih lagi GV4 program secara langsung.

Tegasnya, pihak produksi juga masih mengawal situasi agar ia tidak dilihat sebagai sebuah program yang teruk.

“Kita semua tahu karakter Nabil. Biasalah kalau ada terlepas sedikit kata-kata yang dirasakan kasar. Apabila sudah biasa bergurau, ada masanya dia terlupa dirinya sedang mengacara program secara langsung.

“Apapun, saya lihat pengacaraan Nabil masih terkawal. Program ini pun berkonsep santai dan kita tidak boleh terlalu serius,” ujarnya.

Sumber: Berita Harian

Loading...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *