Korbankan Baju Sejuk Kesayangan Balut Luka Mangsa Kemalangan!

Korbankan Baju Sejuk Kesayangan Balut Luka Mangsa Kemalangan!

“MEMANG sweater (baju sejuk) itu baju kesayangan saya, tetapi untuk membantu orang dalam kesusahan, saya tak boleh pentingkan diri sendiri,” kata Nur Hanim Mohd Saidi, 25, gadis yang membalut tangan penunggang motosikal yang cedera dalam kemalangan dengan menggunakan baju sejuk miliknya.

Dalam kejadian pada 11 malam kelmarin, Nur Hanim yang juga seorang jururawat bersama seorang rakan dalam perjalanan pulang ke rumah lalu berlaku kemalangan membabitkan motosikal dan kereta di hadapan mereka di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur.

Nur Hanim berkata, kemalangan itu menyebabkan penunggang motosikal berkenaan tercampak di tepi jalan dan cedera lalu dia turun daripada keretanya untuk memberikan bantuan awal kepada mangsa.

“Saya tengok banyak darah di atas jalan dan tangan abang itu (lelaki 30-an). Salah satu jarinya sudah menampakkan tulang dan darah keluar tidak henti dari tangan dia.

“Saya buat keputusan nak bantu hentikan pengaliran darah itu daripada keluar. Disebabkan tiada kain di situ, saya tanggalkan sweater saya dan balut tangan lelaki itu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, orang ramai yang berada di situ turut membantu mengangkat lelaki berkenaan dan membawa masuk ke dalam keretanya sebelum dia menghantar mangsa ke unit kecemasan Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Katanya, dia mengambil keputusan untuk menghantar sendiri mangsa ke hospital tanpa menunggu ambulans kerana khuatir kecederaan lelaki itu lebih parah tambahan pula lelaki itu mengadu kecederaan dialami semakin sakit.

“Lelaki itu seorang askar dari kem di Jalan Semarak. Tiba di hospital dia mengucapkan terima kasih kerana membantu beri rawatan awal dan hantar ke hospital.

“Saya memberinya terus sweater kesayangan saya itu yang terbalut di tangannya sebelum saya pulang ke rumah ketika dia dirawat,” katanya yang juga jururawat di HKL.

Menurut anak jati Kerteh Terengganu itu, dia ikhlas membantu orang ramai dengan apa yang termampu dan tidak mengharapkan sebarang balasan meskipun terpaksa mengorbankan barang kesayangan.

“Sebagai jururawat, khidmat saya pada orang ramai bukan sahaja di hospital malah di luar juga meskipun waktu bertugas saya sudah tamat.

“Kejadian itu kebetulan berlaku di hadapan kami. Biarpun penat baru pulang dari kerja, mangsa kemalangan itu perlukan bantuan awal,” kata anak keempat daripada tujuh beradik itu.

Gambar Nur Hanim membantu membalut tangan mangsa yang cedera menggunakan baju sejuknya itu dirakam oleh rakannya sebelum dimuat naik di laman sosial Facebook.

Gambar disertai status ‘Staffnurse Hanim kua kete trus bukak sweater pink kesayangan dye tuh. balut tgn abg yg bdarah terus ke emergency..’ tular di Facebook dan menerima pelbagai reaksi positif daripada netizen.

Sumber: Harian Metro

Loading...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *